Kerajaan Persekutuan Perlu Percepat Pelaksanaan Projek BALB Di Sarawak

Disiarkan pada 05 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu mempercepatkan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak.

Ini susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 Siri 2 yang mendedahkan kelemahan dalam Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah dan Sarawak, menyebabkan projek tersebut gagal mencapai objektif menyediakan air bersih untuk penduduk luar bandar.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Laporan Ketua Audit Negara tersebut adalah salah satu laporan audit yang merujuk kepada pengurusan projek BALB biayaan Kerajaan Persekutuan melalui KKDW.

“Kesemua proses pra-kontrak yang merangkumi urusan pelantikan perunding, makmal pengurusan nilai, pelawaan tender, penilaian tender, penganugerahan kontrak dan pelantikan kontraktor adalah diuruskan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan melalui KKDW namun banyak projek lewat dilaksanakan kerana karenah birokrasi dan prosedur yang panjang. 

“Sebagai contoh, sebanyak 12 projek BALB yang diluluskan antara tahun 2016 hingga 2018 mengambil masa yang agak lama dan pembinaan masih belum bermula seperti yang telah dilaporkan dalam laporan audit tersebut.

“Ingin saya tekankan di sini, proses pra-kontrak seperti yang dinyatakan tadi dikendalikan sepenuhnya oleh KKDW dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak hanya terlibat dalam pengawasan projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Dato Sri Julaihi menambah, isu kelewatan pelaksanaan projek BALB biayaan Kerajaan Persekutuan melalui KKDW pernah beliau bangkitkan dan jelaskan beberapa kali semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November 2023 dan Mei 2024.

Jelasnya, kelewatan ini telah menyebabkan projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak sekali gus telah memberi kesan kepada rakyat Sarawak yang lama menunggu bekalan air di kawasan masing-masing.

Justeru, Dato Sri Julaihi menyarankan agar peruntukan projek BALB di bawah KKDW disalurkan terus kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak sebagai agensi pelaksana dengan menggunapakai tatacara dan prosedur pelaksanaan projek Kerajaan Sarawak.

“Ini bagi mengurangkan karenah birokrasi dan prosedur yang panjang sekaligus dapat mempercepatkan pelaksanaan projek agar rakyat Sarawak dapat menikmati bekalan air seperti yang telah dirancang,” tegasnya. -EDISI UKAS