Projek Jalan Bertingkat Sebuyau Sedang Dalam PerancanganĀ 

Disiarkan pada 04 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Projek pembinaan jalan bertingkat di Sebuyau kini sedang dalam perancangan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tiga pakej jalan bertingkat di Sebuyau itu akan dikemukakan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kelak. 

Katanya, buat permulaan hanya salah satu pakej akan dijalankan dan kini perunding yang dilantik sedang membuat penelitian. 

“Kita berharap dapat membentangkannya kepada Premier Sarawak dalam tempoh sebulan kerana kontrak pembinaan jalan telah ditawarkan kepada syarikat.

“Jadi sekarang sebelum syarikat berkenaan bergerak, maka kita perlu membuat keputusan mengikut arahan daripada Premier Sarawak untuk memulakan projek jalan bertingkat tersebut,” katanya dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Geoengineering Tropika (Tropicon) 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Datuk Amar Douglas memberitahu sebaik sahaja Premeir Sarawak bersetuju, mereka akan mengumumkan kos projek itu, memastikan projek itu berkemungkinan besar akan disiarkan.

Menyentuh mengenai program, beliau melahirkan harapan agar TropICon 2024 membuahkan hasil yang positif, khususnya untuk penyelesaian geokejuruteraan bagi menyokong pembangunan Sarawak.

Beliau menekankan bahawa persidangan ini mempunyai kepentingan dalam membolehkan pembangunan teknologi penjimatan kos baharu yang bertujuan menstabilkan kawasan gambut di Sarawak.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo, Pengasas Bersama Geotropik, Proessor Ir Dr Ramli Nazir, Pengerusi Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak Dan Penaung Tropicon 2024, Ir Irwan Zulkarnain Hasbie, Pengarah Pusat Geoengineering Tropika (Geotropik) Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Tropicon 2024, Dr Dayang Zulaika Abang Hasbollah dan tetamu lain.-EDISI UKAS