KUCHING: Lapang Sasar Menembak Sarawak kini diiktiraf sebagai yang terbaik dalam negara selepas dinaiktaraf menggunakan sistem elektronik yang menelan kos sebanyak RM3.6 juta untuk persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata pemasangan sistem elektronik tersebut merupakan keperluan terbaru yang ditetapkan oleh Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSS).
Katanya, pemasangan sistem berkenaan merupakan langkah untuk memastikan setiap fasiliti sukan yang akan digunakan pada SUKMA nanti menepati piawaian antarabangsa.
“Ini keperluan terbaru ditetapkan oleh Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSS).
“Sebelum ini segalanya (pemarkahan) dibuat secara manual. Terpaksa perhati betul-betul untuk dapatkan markah. Dengan sistem ini, tiada lagi pertikaian.
“Dengan sistem ini, Lapang Sasar Menembak Sarawak adalah yang terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau fasiliti berkenaan yang terletak di Kompleks Sukan Sarawak, Petra Jaya pada Khamis.
Menurut Dato Gerald, naik taraf fasiliti tersebut juga sebagai persiapan Sarawak untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2027 kelak.
Katanya, untuk perancangan masa hadapan, sistem berkenaan akan dipasang di semua lapang sasar berkenaan bagi membolehkan Sarawak menganjur kejohanan bertaraf dunia selepas ini.
Untuk rekod, sistem elektronik SIUS itu dipasang di 10 lapang sasar berjarak 10 meter, 25 meter dan 50 meter.
Sistem berkenaan akan membolehkan sebarang keputusan peserta diperolehi serta merta dan dipaparkan di skrin elektronik.
Ia akan mempercepatkan proses pemarkahan dan penentuan keputusan.
Selain Lapang Sasar Menembak, Dato Gerald yang juga Chef de Mission (CDM) kontinjen Sarawak turut meninjau pusat skuasy, dewan wushu, padang kriket dan stadium hoki.
Turut serta Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Unit Persediaan SUKMA Abdul Muktalib Mohamad dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan SUKMA XXI Dr Mohd Shafiq Abdullah. -EDISI UKAS