KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat rombongan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Pengarah JKDM Sarawak yang baharu, Norizan Yahya.
Ini merupakan kunjungan hormat pertama beliau kepada Premier Sarawak setelah dilantik bagi jawatan tersebut.
Ketika ditemui pemberita, Norizan memberitahu, kunjungan tersebut bagi menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu Kerajaan Sarawak terutamanya mengenai urusan petroleum.
“Perkara-perkara yang akan kami bantu adalah dalam proses import dan eksport serta prosedur bagaimana untuk membantu mengenai petroleum di mana Kerajaan Sarawak mengawal urus mengenai petroleum di Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, mereka akan juga membantu dalam memudahkan urusan atlet-atlet serta pegawai-pegawai Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Sarawak 2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Norizan, hal ini terutamanya tanggungjawab mereka untuk memproses barangan dan bagasi para atlet sebagai jabatan yang menjaga pintu masuk negeri.
“Kita memudahkan prosedur pelepasan bagasi-bagasi atlet daripada kontinjen-kontinjen negeri lain dan juga akan membantu atlet istimewa yang akan bertanding.
“Kami akan sediakan anggota dan kenderaan bagi membantu dalam prosedur tersebut,” ujarnya.
Jelasnya lagi, anggota kastam Sarawak mencukupi bagi menghadapi SUKMA dan Para SUKMA yang akan datang.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Kastam Negeri Sarawak, Saidin Djpar, Abang Zamari Abang Nazarin dan Rasha Afzal Shafii serta pegawai kastam yang lain. -EDISI UKAS