Projek Pembinaan & Penyiapan Kerja-Kerja Jalan Sungai Passin/Matu Diteruskan

Posted on 04 Jul 2024
Source of News: UKAS


DARO: Projek pembinaan dan penyiapan kerja-kerja cadangan jalan Sungai Passin/Matu sepanjang 19.3 kilometer (km) diteruskan lagi setelah tergendala.

Difahamkan, projek yang bernilai RM77.88 juta ini merupakan projek 'sakit' dan kontraktor baharu yang dilantik adalah merupakan kontraktor penyelamat setelah kontraktor sebelum ini ditamatkan kontrak.

Simbolik penyerahan ikatan projek tersebut yang dilakukan di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah kepada syarikat Hong Seng Construction (E.M) Sdn Bhd dengan projek dijangka siap pada 18 Disember 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkesempatan menyaksikan penyerahan tersebut ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Ngiling Bidai Gawai 2024 Kampung Sungai Passin pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut merasmikan Program Komuniti Gotong-Royong Membersih Kawasan dan Tebingan Sungai serta Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Pada kemuncak majlis, beliau juga menyempurnakan simbolik penyerahan jaket keselamatan LSS kepada kesemua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk SK Sungai Passin dan Klinik Passin serta menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pelajar.

Beliau juga berkesempatan menyampaikan sumbangan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada tujuh JKKK, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Passin dan PIBG SK Kampung Sawai yang secara keseluruhannya RM57,000.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Romeo Christopher Tegong, Controller LSS, Lt. Kol. Ding Tiew Wong (B), Pemangku Pegawai Daerah Matu Zaraina Sahari, wakil Residen Mukah Petrone Benedict Sunggoh, wakil Jurutera Bahagian JKR Mukah Yeo Pui Hee dan wakil Pengurus RES SEB Sdn Bhd Ismail Alli. -EDISI UKAS