Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Serta Isteri Terima Kunjungan Hormat Pengurusan Eksekutif UiTM Cawangan Sarawak

Disiarkan pada 03 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat Pengurusan Eksekutif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak bersama Pengerusi Lembaga Pengarah, pada Rabu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, menekankan komitmen UiTM untuk memajukan hak pendidikan penduduk tempatan khususnya memastikan akses kepada pendidikan tinggi bagi rakyat Sarawak.

“Kami akan memasukkan mereka yang mempunyai tiga atau empat kredit dalam program pra-diploma di dalam kampus kami.

“Kami berdedikasi untuk memastikan orang Melayu, orang asli dan anak-anak asal Sarawak mendapat manfaat daripada peluang pendidikan yang kami tawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, kunjungan hormat itu bertujuan memperkenalkan pengurusan pentadbiran utama UiTM Shah Alam bersama-sama kampus UiTM Samarahan, Samarahan 2, dan Mukah serta mengemas kini perkembangan program UiTM.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahibuddin mengetengahkan program Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) untuk pembelajaran jarak jauh yang membolehkan pelajar dan individu yang bekerja untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan PhD.

Pada masa ini jelasnya, tiga kampus di Sarawak sedang ditambah baik untuk meningkatkan keupayaan mereka, dengan kira-kira 400 kakitangan akademik, kira-kira 800 pensyarah dan tenaga pengajar serta kira-kira 7,800 pelajar.

Katanya, UiTM komited bukan sahaja untuk menambah bilangan tetapi juga meningkatkan kualiti dari semasa ke semasa bagi memastikan kebolehpasaran graduannya.

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), Jabatan Perhubungan UiTM, Prof Dr Ismie Roha Mohamed Jais, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Pemangku Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Ts. Chm. Dr Mohamad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Madya Dr. Saimi Bujang, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Prof. Ir. Dr Juferi Idris, Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah, Prof. Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir, Timbalan Pendaftar Kanan, Mohd Hasimi Abdullah dan Penyelaras, Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Sarawak, Yaziz Kasim. -EDISI UKAS