Guna Pelan 'B' Sekiranya Venue SUKMA 2024 Belum Bersedia

Disiarkan pada 03 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS








KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai pelan 'B' untuk mengalih venue sekiranya gelanggang utama yang ditetapkan sebelum ini gagal untuk disiapkan bagi kegunaan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu menjelaskan, usaha ke arah itu berada dalam radar pihaknya bagi mengelak acara sukan yang telah ditetapkan disingkir daripada dipertandingkan pada saat akhir.

“Bagi fasiliti-fasiliti lain, kita memang ada pelan B sekiranya ada venue yang belum dapat disediakan.

“Atlet-atlet yang bertanding telah berlatih untuk sekian lama dan kita tidak mahu apabila hari bertanding kelak, mereka tiada tempat untuk bertanding dan kita tidak inginkan perkara itu berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke fasiliti-fasiliti penganjuran SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini pada Rabu.

Dato Gerald yang juga ‘Chef de Mission’ (CDM) untuk kontinjen Sarawak memberitahu, penyiapan venue-venue sukan ini amat mustahak untuk disiapkan dalam masa terdekat untuk memberi ruang kepada atlet berlatih dan menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran sebenar semasa pertandingan itu nanti.

“Saya sebagai ketua kontinjen juga inginkan atlet kita berpeluang untuk berlatih dan menggunakan tempat ini secepat mungkin supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi di gelanggang dan sebagainya,” jelas beliau lagi.

Bagaimanapun, Dato Gerald memberi jaminan bahawa sokongan daripada pegawai-pegawai yang terlibat, sekretariat dan kontraktor yang bertanggungjawab akan berjaya menyediakan semua venue di Sarawak mengikut tarikh yang ditetapkan.

Sempena lawatan beliau pada kali ini, Dato Gerald telah meninjau perkembangan semasa di Stadium Perpaduan, Stadium Negeri, Stadium Sarawak, Perkampungan Sukan dan Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Tambah beliau, lawatan ini akan diteruskan ke semua venue yang terlibat di seluruh Sarawak untuk memastikan persediaan venue berada di landasan yang betul.

Turut serta, Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Unit Persediaan SUKMA Abdul Muktalib Mohamad dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan SUKMA XXI Dr Mohd Shafiq Abdullah. -EDISI UKAS