Sarawak Peruntuk RM500 Juta Untuk Skim Saliran Padi Tahun Depan

Disiarkan pada 03 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membina skim saliran untuk tanaman padi pada tahun depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata peruntukan itu adalah untuk kawasan penanaman padi di Sri Aman, Samarahan dan Kuching.

“Petang tadi kita ada mesyuarat dan kita telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta tahun depan untuk buat skim saliran di Sri Aman, Samarahan dan Kuching.

“Ini tidak termasuk kawasan berpotensi besar lain seperti Limbang dan Lawas serta ladang kecil tradisional oleh komuniti,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam DCCI-KCCI Gawai Kaamatan di sini pada Selasa.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pada mulanya beliau telah meminta peruntukan itu daripada kerajaan Persekutuan, namun sehingga kini masih menunggu maklum balas.

“Bila saya kata kawasan ini memerlukan RM1 bilion, Menteri kata terlalu banyak. Kemudian saya beritahu mereka kenapa tidak kita bahagi kepada dua, saya beri RM500 juta, awak beri RM500 juta.

"Sehingga hari ini, kita masih menunggu tetapi Sarawak telah memperuntukkan RM500 juta untuk pembangunan ini,”ujar beliau.

Hadir sama, Isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Perpaduan Negara Malaysia Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), Dato Allan Keripin Nangkai dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI), Datuk Ladislaus Maluda.-EDISI UKAS