CeIO Kunci Kekalkan Integriti Di Tempat Bekerja

Disiarkan pada 03 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya yakin individu yang menyertai program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) tidak seharusnya tertumpu kepada mencari kesalahan orang lain di tempat kerja.

Sebaliknya, beliau berkata peranan CeIO adalah untuk menjalankan langkah pencegahan.

“Tugas CeIO adalah untuk menjalankan kerja pencegahan. Kita menghalang isu sebelum ia berlaku, dan inilah yang mesti difahami oleh CeIO dan semua orang di pejabat masing-masing.

“Jangan bertindak keterlaluan apabila terdapat isu integriti di pejabat anda; betulkan kesalahan tersebut. Jika ada kesilapan, betulkan sebab itu saya katakan bahawa tugas kita bukanlah mencari kesalahan orang lain.

“Cegah kesilapan itu sebelum berlaku atau merebak dalam jabatan. Ini amat penting,” katanya semasa Majlis Penutupan Seminar Kelestarian Integriti 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.

Datuk Dr Juanda juga menegaskan bahawa CeIO memainkan peranan dalam memastikan kejayaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Tambahnya, menjadi CeIO bukanlah kedudukan yang glamor namun penjawat awam yang terpilih untuk melaksanakan tugas mulia bagi memastikan kejayaan PCDS 2030, berusaha ke arah Sarawak yang berintegriti tinggi dan maju.

Jelasnya, apabila Sarawak maju dengan integriti tinggi, CeIO akan berasa bangga kerana mereka menjadi sebahagian daripada yang mengangkat martabat negeri Sarawak.

Sementara itu, beliau turut menyebut tentang kepentingan menangani isu disiplin dengan segera di dalam jabatan masing-masing, menggesa semua pihak mengambil tindakan tegas apabila perlu.

“Marilah kita semua menjadi orang yang memastikan sebarang isu disiplin ditangani dengan segera dan tidak disembunyikan” katanya.

Turut hadir Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman, Jabatan Premier Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Sarawak Wan Ahmad Nidzam Wan Omar, dan tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS