SUKMA ke-21 Sarawak: Ketahanan Mental & Persediaan Atlet Diberi Tumpuan

Disiarkan pada 03 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS









KUCHING: Kerajaan Sarawak telah membuat persiapan rapi berhubung prestasi atlet termasuk memberikan sokongan ketahanan mental melalui motivasi dan penyediaan lengkap semua peralatan sukan untuk para atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, Sarawak memberi tumpuan kepada kesejahteraan atletnya dan persiapan untuk merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA XXI) ke-21.

“Kami mempunyai unit kaunseling di mana Pegawai Sukan boleh memaklumkan kami tentang kekurangan motivasi, membolehkan kami menanganinya lebih awal dan membawa pakar kaunseling untuk menangani isu tersebut.

“Pada SUKMA lalu, atlet bermain dengan baik, tetapi mereka mula gementar apabila melangkah ke suku akhir.

“Sebab itu kami membawa pakar motivasi untuk menganjurkan pelbagai kem motivasi dan sesi nasihat untuk atlet kami," katanya.

Beliau berkata demikian semasa program bual bicara 'Juh Randau' terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Selasa.

Sementara itu, Awang Putrayusrie menyatakan SSC sedang mengkaji kemudahan sukan untuk memenuhi piawaian SUKMA dan akan segera menangani sebarang isu untuk memastikan kelancaran operasi.

"Sekiranya cuaca tidak mengizinkan atau sebarang masalah lain berlaku, kita akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Pelan A berjalan lancar sebelum beralih kepada Pelan B," katanya. - EDISI UKAS