Program PPK Tangani Taraf Kewarganegaraan Diteruskan Di Simunjan

Disiarkan pada 02 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Program Pengoperasian Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menangani isu penduduk yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan diteruskan di Daerah Simunjan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, operasi PPK menyasarkan isu taraf kewarganegaraan penduduk di sekitar Simunjan sebelum diteruskan ke daerah lain di Sarawak.

 

"Operasi PPK bermula pada hari ini, 2 sehingga 4 Julai nanti bagi menyelesaikan isu individu-individu penduduk di kawasan Simunjan yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan belum ditentukan taraf kewarganegaraan.

 

"Di Simunjan, ia dilaksanakan selama tiga hari yang melibatkan lebih kurang 46 orang ketua masyarakat dan ketua kaum untuk setiap kampung serta rumah panjang.

 

"Selain agensi kerajaan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) juga memainkan peranan bagi mengenalpasti penduduk kampung atau rumah panjang yang tiada dokumen pengenalan diri atau taraf kewarganegaraan yang belum ditentukan," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan kerja ke lokasi pengoperasian PPK di Dewan Mesra Simunjan pada Selasa.

 

Dalam pada itu, Awla berharap program PPK dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bagi membolehkan warganegara Malaysia khususnya penduduk di kawasan Simunjan layak menerima manfaat dan bantuan kerajaan sekaligus membolehkan mereka mendapat segala keistimewaan sebagai rakyat Malaysia yang sah.

 

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan program ini khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pejabat Daerah Simunjan dan KMKK sekitar.

 

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Simunjan Zainap Halip, Pegawai UKPS Mohd. Musa Jolhip dan Penolong Pegawai Pendaftaran JPN Sazali Moksin. -EDISI UKAS