RECODA Terima Sijil ABMS Dalam Usaha Perangi Rasuah

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah menerima pengiktirafan melalui projek rintis Sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS ISO 37001 dalam usaha memerangi rasuah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengiktirafan ini dapat memberi kepercayaan kepada pelabur luar dan rakyat di negeri ini akan integriti dan perjalanan tadbir urus berprinsip agensi kerajaan. 


“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kita ke arah 2030 di mana kita memberi penekanan kepada persoalan penyampaian dan ketelusan.

“Sekurang-kurang dengan pencapaian hari ini, kita telah mencapai satu peringkat kejayaan dan apa yang penting adalah sistem itu sudah ada,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian semasa menerima sijil tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Pengerusi RECODA berkata antara agensi lain yang terlibat dalam projek rintis adalah Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Jabatan Hal Ehwal Islam Sarawak (JAIS).

Dalam pada itu, beliau turut memuji pencapaian RECODA kerana mempamerkan peranan integriti yang boleh dipercayai dalam usaha memerangi rasuah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada RECODA kerana sekurang-kurangnya sistem yang digunapakai dalam mereka mendapat pengiktirafan dari sudut usaha kita untuk memerangi rasuah,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya. -EDISI UKAS