Projek Naiktaraf Sistem Paip Graviti Mampu Beri Manfaat Tiga Kampung Di Jalan Kendaie Lundu

Disiarkan pada 01 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Projek menaiktaraf sistem paip graviti akan memberikan manfaat kepada tiga buah kampung di Jalan Kendaie, iaitu Kampung Kendaie, Kampung Bukit Batu dan Kampung Pasir Hilir. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, beliau telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta yang diperoleh daripada Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

“Pelaksanaan projek ini akan dijalankan dalam masa terdekat selepas tender dikeluarkan,” katanya demikian ketika berucap di Majlis Ngelayakng Daun Bonos 2024 bersempena dengan penutupan Gawai pada malam Sabtu.

Selain itu, Billy memberitahu, projek menaiktaraf jalan raya di Kawasan Sangat iaitu Kampung Pasir Tengah bernilai RM1.7 juta juga telah diluluskan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. 

Jelasnya, projek tersebut merangkumi proses pembesaran jalan raya, pembinaan jambatan serta pembinaan sistem perparitan bagi menangani masalah banjir kilat di Kampung Pasir Tengah.

Sementara itu, mengulas mengenai projek pembangunan yang lain, projek penurapan jalan rumah ke rumah akan dilaksanakan seawal pertengahan Julai 2024.

Billy juga menyeru kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir Hilir untuk membuat permohonan pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Pasir Hilir termasuk pembinaan rumah adat kaum Rara iaitu Pantak dengan permohonan ini dibuat segera kepada pihak Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Pada kemuncak majlis, Billy mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Rara dan RM5,000 setiap satu kepada Biro-Biro Belia di Kampung Kendaie, Kampung Pasir Hilir dan Kampung Pasir Tengah serta Biro-Biro Wanita di Kampung Pasir Hilir dan Kampung Kendaie. -EDISI UKAS