Sarawak Rakan Kongsi PETRONAS Dalam Industri Minyak & Gas

Disiarkan pada 01 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Kedudukan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) adalah jelas sebagai rakan kongsi kepada syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam industri minyak dan gas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak bukan sekadar pemerhati, tetapi terlibat secara aktif dalam industri tersebut walaupun hanya sebagai syarikat minyak negeri.

Tegas beliau, ke arah itu, tidak timbul isu Sarawak cuba memonopoli industri minyak dan gas menerusi PETROS dengan mengambil hak PETRONAS dan tiada istilah 'abang' atau 'adik' (antara PETROS dan PETRONAS) memandangkan Sarawak telah lama menjadi pemain dalam industri ini sejak 1910.

“Sudah tentu PETRONAS menjadi pemain utama sejak 1974 dengan pengenalan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, tetapi Sarawak sudah lama menjadi pemain industri minyak dan gas sebelum itu, sejak 1910.

"Rakyat Sarawak bekerjasama dengan PETRONAS dan pada masa sama, syarikat Sarawak turut bekerjasama dengan PETRONAS melalui Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).

"Kerana latar belakang dan pengalaman ini, kita telah menubuhkan PETROS untuk menjadi rakan kongsi kepada PETRONAS dan pada masa sama untuk mencari kaedah bagi mengurangkan kesan perubahan iklim,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak Dalam Industri Minyak dan Gas 2024, di sini pada Isnin.

Seramai 47 vendor PETRONAS di Sarawak telah menerima penghargaan pada majlis itu.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Datuk Ir Bacho Pilong, Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS Dato Ibrahim Baki, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Perindustrian Sarawak Dato Sri Mohd Naroden Majais, Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS Rashidah Alias, Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS Ruslan Islahudin serta Naib Presiden Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS Nooruddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menekankan bahawa Sarawak tidak melanggar semangat kerjasama dengan PETRONAS seperti beberapa dakwaan yang tidak betul di media sosial berhubung pembabitan Sarawak dalam industri minyak dan gas menerusi PETROS.

Ujarnya, kolaborasi antara PETROS dan PETRONAS adalah secara harmoni di bawah lima undang-undang berdasarkan hak Sarawak.

"Pertamanya ialah Kanun Tanah Sarawak; ia adalah undang-undang yang mengawal segala-galanya berkaitan tanah dan sumber asli kita. Oleh itu, penyimpanan karbon adalah hak milik kami.

"Kedua, kita ada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, yang mana kita ada undang undang yang menguruskan hasil minyak dan gas.

"Ketiga, Ordinan Pengagihan Gas 2016, kita menjadi pihak berkuasa kepada Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd (SGDSB) atau pengedaran gas.

"Keempat ialah Perlembagaan Malaysia, yang mana kita ada beberapa peruntukan seperti cukai jualan.

"Manakala undang-undang kelima ialah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),"jelasnya semasa ditemui media selepas majlis tersebut.-Edisi UKAS