KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) menyambut baik cadangan untuk membina Pusat Kecemerlangan Digital di semua universiti milik Sarawak.
Menterinya Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bagaimanapun berkata cadangan untuk membina pusat itu di setiap universiti milik Sarawak masih belum diputuskan.
Jelasnya, usaha menubuhkan pusat terbabit ke semua universiti di Sarawak belum dibincang lanjut selepas penubuhan sulung di Curtin Malaysia Miri) yang diumumkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu lepas.
"Itu saya tidak dapat jawab sekarang sebab ia baru disebut oleh Premier, ini baru pengumuman kali pertama dibuat.
"Seperti mana orang lain mahu, saya turut berharap ia dibuat di semua tempat," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semasa hadir merasmikan dewan baharu Kampung Bintawa Sungai Barie sempena Karnival Gawai Dayak dan Pertandingan Kumang Gawai Siburan 2024 pada Ahad.
Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta kepada Curtin Malaysia Miri untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Digital di institusi tersebut.
Menurut Premier Sarawak, inisiatif itu sebagai menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan.
Antara universiti milik Kerajaan Sarawak ialah Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs).
Sementara itu, Dato Sri Roland berkata pihaknya dalam perancangan untuk menaik taraf dewan baharu Kampung Bintawa Sungai Barie bagi memastikan prasarana terbabit mempunyai kemudahan dan fasiliti yang lebih baik.
Menurutnya, dewan baharu dibina dengan kos RM300,000 daripada peruntukan projek Program transformasi Luar Bandar (RTP).
"Baru tahun ini ia siap, kita kena kaji dulu supaya kita tahu berapa (kos) yang diperlukan.
"Tahun ini memang tidaklah (naik taraf fasiliti), kemungkinan tahun hadapan baru kita harap ia dapat dilaksanakan," katanya.
Terdahulu, Penghulu Kampung Sungai Barie Ambrose Budet berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan Karnival Gawai Dayak Edisi ke-3 berskala besar pada tahun 2025.
Ia berikutan sambutan menggalakkan diberikan terhadap karnival kali ini terutama dalam program Niti Daun di mana lebih 500 peserta yang terdiri daripada enam buah kampung di sekitar mengambil bahagian.
"Pada malam hari pertama kita telah menyaksikan dewan lokasi penganjuran pertandingan Kumang Gawai Siburan penuh dengan kehadiran peminat, di mana kejohanan terbabit telah disertai seramai 11 kumang dari sekitar kawasan Serian termasuk dari Sri Aman dan juga Kuching.
"Manakala di acara utama iaitu program Niti Daun telah merekodkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada enam buah kampung di sekitar Kampung Barie iaitu Sungai Barie, Bintawa Lama, Kampung Bedega, Sungai Turung, dan Kampung Betong Kanowit," katanya ketika ditemuramah.
Karnival diadakan dari 28 hingga 30 Jun itu padat dengan pelbagai aktiviti anjuran AJKK Kampung Sungai Barie dengan kerjasama SABERKAS dan KRT Kampung Sungai Barie.
Hari pertama diadakan sukan rakyat, futsal dan saringan kumang gawai dan diteruskan dengan pertandingan e-sukan, pentas hiburan, pembukaan reruai jualan makanan dan kraf tangan pada hari kedua.
Kemuncak pada malam terakhir adalah konsert yang menampilkan penyanyi Iban terkenal, Ricky El dan Phillip Jabu.
Turut disampaikan pada malam tersebut hadiah pemenang Niti Daun di mana johan dimenangi Kampung Bintawa Lama untuk membawa pulang RM1,500.
Tampat kedua dirangkul Kampung Sungai Barie untuk menerima RM1,000 manakala Kampung Bedega meraih RM700 selaku pemenang tempat ketiga.
Manakala Kampung Turong 2 dan Kampung Turong 1 yang memenangi tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM500. - EDISI UKAS