LUNDU: Dewan Serbaguna Kampung Raso 1 di sini sudah boleh digunakan secara rasmi setelah siap sepenuhnya dengan lengkapnya pembinaan pentas yang dibina dengan kos RM60,000.
Perasmian dewan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang sempena Majlis Penutupan Gawai Kampung Raso 1 yang diadakan di kampung tersebut pada Jumaat.
Berucap ringkas semasa majlis tersebut, Billy berharap penduduk kampung menggunakan dewan ini sebagai sebuah kemudahan yang mampu menyatupadukan masyarakat dalam komuniti ini.
Dalam pada itu, Billy juga mengumumkan dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2024 di Kampung Raso 1 yang telah diluluskan iaitu projek pembinaan tempat letak kereta dewan serbaguna Kampung Raso 1 berjumlah RM 60,000 dan projek menaiktaraf dapur Biro Wanita berjumlah RM50,000.
Selain itu, Billy juga turut menyampaikan cek geran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Gereja St Loius Kampung Raso 1 berjumlah RM500,000.
Billy berharap peruntukan tambahan ini dapat menyiapkan pembinaan baharu gereja tersebut dan sekaligus dapat digunakan semasa sambutan Hari Krismas penghujung tahun 2024 ini nanti. -EDISI UKAS