Selidik Kesahihan Laporan Di Media Sosial

Disiarkan pada 01 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




SPAOH: Penduduk luar bandar digesa agar tidak mempercayai sepenuhnya apa-apa laporan yang disiarkan di media sosial.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penduduk harus bijak menilai laporan yang disiarkan khususnya yang melibatkan pemimpin politik tertinggi.

Katanya, pencipta kandungan hari ini pintar dalam memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mencipta pelbagai perkara.
"Teknologi A.I ini boleh menjadi rahmat dan pada masa yang sama kutukan dan sangat mengganggu dan merosakkan.

"Kita telah terjumpa sebelum sambutan Gawai Dayak baru-baru ini, Presiden Amerika Joe Biden menyampaikan ucapan Gawai Dayak beliau. Begitu juga, terdapat satu lagi klip di mana bekas presiden Donald Trump telah melakukan perkara yang sama.

"Apa yang menakjubkan ialah kedua-duanya telah bercakap dalam bahasa Iban yang sempurna untuk pesanan ringkas itu. Bayangkan jika teknologi seperti itu dieksploitasi semasa tempoh berkempen mana-mana pilihan raya umum.

“Berita palsu yang dicipta boleh mengakibatkan kekeliruan, syak wasangka, kebencian dan penolakan. Jadi nasihat saya kepada semua pemilik telefon mudah alih supaya berhati-hati apabila menjumpai siaran berita palsu seperti itu.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Merarau Ngiling Tikai Gawai Dayak 2024 DUN Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh pada Ahad.

Dalam isu berasingan, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menyeru pemimpin akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan ahlinya mencari jalan dan kaedah baharu untuk memastikan parti sentiasa kukuh dan bersatu.

“Ini adalah sebahagian daripada persiapan anda dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Kita tidak boleh terperangkap dalam situasi di mana kita leka dan tidak bersedia. Ini boleh dieksploitasi oleh pihak lawan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu menegaskan keperluan ketua rumah panjang dan kampung, ahli jawatankuasa pembangunan dan keselamatan serta ahli majlis masing-masing supaya sentiasa telus dan jujur dalam pelaksanaan sebarang projek pembangunan di kawasan mereka.

Tegasnya, mereka juga perlu sentiasa sentiasa berbincang dengan ahli jawatankuasa dan pengikut mereka.

Hadir sama Pengarah Kerja Raya Sarawak Dr. Cassidy Morris. - EDISI UKAS