Ahli Parlimen Mukah Serah Bantuan Mangsa Kebakaran

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Nasib lapan mangsa kebakaran di Kampung Penakub Permai mendapat perhatian Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib.

Empat daripada mangsa kebakaran tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kediaman mereka musnah 100 peratus akibat tragedi yang berlaku  pada Khamis. 

Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah tiba di lokasi sekitar jam 1 petang dan sempat memadamkan api daripada meranapkan rumah bersebelahan namun masih menerima tempias sebanyak 10 peratus musnah dalam kebakaran.

Pegawai dari Pusat Khidmat P.213 Mukah, Almahakim Norshidi menyampaikan sumbangan ikhlas Dato Hanifah kepada Hasiah Dollah serta keluarga yang rumah mereka telah ranap terbakar. 

Jenis sumbangan daripada Pusat Khidmat Mukah berbentuk wang tunai sebanyak RM6935.25 dan barang keperluan asas bernilai RM3064.75 termasuk sumbangan peribadi daripada Dato Hanifah sebanyak RM5,000.

Manakala, pemilik rumah yang mengalami kerosakan 10 peratus iaitu Hamsah Dollah dan keluarga menerima sumbangan ikhlas Dato Hanifah sebanyak RM5,000 untuk membaikpulih rumah mereka.

Dato Hanifah dalam pada itu berharap agar semua ahli keluarga mangsa tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa ini dan berharap agar sumbangan berikut sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut. 

Beliau juga menyeru agar mana-mana pihak tampil untuk menghulurkan bantuan mahupun sumbangan terhadap keluarga terbabit.

Dato Hanifah juga difahamkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. -EDISI UKAS