Program Sarawak Kamek Empun 2.0 Fokus Pergerakan Wanita PBB

Disiarkan pada 01 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




SIBU: Program Sarawak Kamek Empun (SKE) 2.0 menjadi fokus Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk membekalkan maklumat penting dan terkini kepada wanita di peringkat akar umbi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Majlis Tertinggi Wanita akan turun padang menyampaikan maklumat tentang usaha dan inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari segi perkembangan ekonomi dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS2030).

Katanya, ia menunjukkan halatuju dan strategi untuk Sarawak mencapai aspirasinya sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

"Salah satu objektifnya untuk memastikan bahawa sayap wanita kita sentiasa aktif dan sentiasa relevan bukan sahaja waktu pilihanraya tapi sepanjang masa dengan strategi dengan perkara-perkara yang kita bincang di peringkat cawangan semasa SKE itu diadakan.

“Setakat ini dah tiga cawangan mengadakan SKE, Sarawak Kita Empun. Yang pertama dulu ialah Demak, kemudian dua lagi iaitu Mulu dan juga Simunjan."

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita PBB Bil.2 di Hotel Tanamas Sibu pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBB menambah program SKE 2.0 di kawasan lain akan diadakan dalam masa terdekat di dalam bulan berbeza sehingga tahun hadapan di mana pengisiannya tertakluk kepada keperluan dan isu yang ada di kawasan tersebut.

Untuk rekod, Program SKE 2.0 telah bermula pada Februari 2024 dan dijangka akan diadakan sehingga hujung tahun 2025.

Terdahulu beliau berkata meminta Pergerakan Wanita PBB seluruh Sarawak bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada tahun 2026.

Jelas beliau lagi, pertambahan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pendaftaran automatik undi 18 harus diberi perhatian di mana setakat 21 Disember 2023 jumlah pengundi dalam daftar pemilih SPR adalah seramai 1,982,400 orang.

“Dulu antara aktiviti yang kita jalankan adalah dibawah pergerakan wanita PBB ialah untuk mendaftar pengundi.

“Sekarang tidak perlu lagi sebab automatik, jadi bilangan pengundi bertambah kemudian undi ada yang nanti pastinya jadi pengundi baru dari kalangan belia.

“Dan ini adalah satu perkara yang harus kita beri fokus sebagai persiapan kita untuk menghadapi pilihanraya,” katanya lagi.

Seramai 38 orang ahli dari majlis tertinggi hadir dan ia merupakan mesyuarat kelima bagi tahun 2024 yang pertama kali diadakan di luar daripada Kuching. - EDISI UKAS