SABAH: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu telah berkesempatan untuk menjadi ahli panel dalam satu sesi pleno semasa ‘Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Programme (SSEAYP) International Conference Borneo 2024’ (SICO Borneo 2024) yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 29 hingga 30 Jun lepas.
Mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Dato Gerald Rentap telah memberikan pandangan beliau berkaitan topik ‘Youth-Led Sosial Change’ dalam sesi tersebut.
Beliau juga berkongsi mengenai peranan belia dalam menerajui perubahan sosial melalui kerangka Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030.
SICO Borneo 2024 telah disertai seramai 155 peserta merangkumi Brunei Darussalam, Indonesia, Sabah, Semenanjung Malaysia termasuk 15 peserta dari Sarawak.
Ia dianjurkan bagi memperkasa pembelajaran belia, memberi peluang kepada belia sebagai sumber atau tenaga kerja penting dalam pembangunan berterusan negara, melahirkan masyarakat minda kelas pertama serta menjadi usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang dapat membawa perubahan positif.
Persidangan kali ini dianjurkan oleh Alumni SSEAYP International Malaysia (KABESA) bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah yang mana majlis penutupannya disempurnakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.
Dalam pada itu, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) akan berkolaborasi dengan KABESA Kebangsaan dalam pelaksanaan SICO Borneo 2025 yang bakal diadakan di Kuching.
Ia dilihat dapat memberi impak kepada pembangunan belia dalam gagasan Borneo melalui hubungan sejagat yang merangkumi sosioekonomi, budaya, sosial, teknologi dan pendidikan.
Turut hadir semasa SICO Borneo 2024 ialah Presiden KABESA Datuk Che Muhamad Nordin Ismail, Presiden KABESA Sabah dan Labuan Dato’ Juhari Janan, Timbalan Setiausaha Tetap MYSED Dolhadi Marzuki serta dif-dif kehormat lain. -EDISI UKAS