SIMUNJAN: Pendidikan kanak-kanak merupakan tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh para ibu bapa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, ibu bapa harus mengambil berat akan pendidikan anak-anak kerana ia merupakan salah satu tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan mereka.
"Bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, anak-anak sangat memerlukan dorongan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa dalam menempuhi segala rintangan yang mendatang.
"Sehubungan itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak daripada usia awal bagi merangsang perkembangan dan kemahiran mereka.
"Peribahasa juga menyatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya dan dengan cara ini, anak-anak boleh memupuk diri untuk lebih berdikari dan bermotivasi dalam mencapai kejayaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kemahiran Keibubapaan Parlimen Batang Sadong di Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu.
Sementara itu, Awla menambah, generasi yang sihat dan berkeperibadian baik akan melahirkan anak-anak yang bermutu serta mempunyai pemikiran yang cerdas dan fizikal yang cergas.
"Mereka sebagai generasi pelapis kepada generasi sekarang, amat perlulah kita asah dengan pengajaran untuk menjalani cara hidup sihat dan mempunyai corak kehidupan yang terjamin.
"Kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan hendaklah diterapkan ke jiwa anak-anak mulai dari seusia mereka sekarang kerana hal ini dianggap amat penting selain meningkatkan mutu pencapaian akademik mereka," katanya.
Untuk rekod, seramai 150 peserta menyertai bengkel tersebut terdiri daripada ibu bapa dari Parlimen Batang Sadong meliputi kawasan Simunjan, Gedong dan Sadong Jaya.
Hadir sama, wakil Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Roselind Wilson Laing, Pegawai KEMAS Daerah Simunjan Maimunah Latip, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi dan Pengerusi Tabika KEMAS Kampung Nanas B Junaidi Sebli. -EDISI UKAS