
TANJUNG MANIS: Lebih 50 rumah panjang di sepanjang jalan Tanjung Manis-Sibu bakal menerima manfaat daripada projek bekalan air yang akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM264 juta.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, berkata masyarakat rumah-rumah panjang dari Sibu ke Bawang Assan sehingga ke Simpang Ketam yang belum lagi menerima bekalan air bakal mendapat manfaat tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, peruntukan telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan projek tersebut diharap dapat menyelesaikan masalah bekalan air luar bandar.
"Selepas itu nanti kita akan pasti semua rumah-rumah panjang disepanjang jalan Sibu -Tanjung Manis akan mendapat bekalan air," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Hari Gawai 2024 DUN Semop di Rumah Peter Minggat pada Jumaat.
Terdahulu, Datuk Abdullah turut memaklumkan cadangan pembinaan jalan dari Mupong Muara, Mupong Ulin ke Kampung Sebenak melalui Sungai Kilas menuju ke jalan Sibu -Tanjung Manis bernilai RM56 juta kini dalam proses permohonan tapak dan dijangka bermula pada pertengahan tahun hadapan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab berkata, semua wakil rakyat sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Ujarnya, persaingan antara wakil-wakil rakyat untuk melaksanakan projek pembangunan adalah sesuatu yang amat baik kerana semua yang dilakukan ini adalah untuk memenuhi keperluan rakyat.
"Di bawah pentadbiran GPS dan dipimpin oleh Premier Sarawak melalui projek RTP dan sebagainya yang memberi tumpuan ke kawasan pedalaman telah banyak dilaksanakan.
"Pembangunan yang sedang giat dilaksanakan khususnya projek-projek jalan ini sudah pasti akan membantu kawasan yang sebahagian besarnya dari petani dan nelayan dapat memasarkan hasil produk mereka dengan lebih mudah dan cepat," katanya lagi.
Program Gawai di Rumah Peter Minggat itu merupakan yang terakhir dalam siri Jelajah Gawai bagi kawasan N.42 Semop. -EDISI UKAS