SFCF Bakal Berlangsung Dari 10 Mei Ini Di Aiman Mall

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) bakal berlangsung pada 10 hingga 19 Mei depan di Aiman Mall, Kota Samarahan. 

 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, festival tersebut bertujuan memperkenalkan produk makanan tradisi, makanan popular, seni, adat dan budaya yang terdapat di Sarawak. 

 

“Penganjuran SFCF tahun ini istimewa kerana ia akan menyaksikan percubaan untuk melakukan rekod pameran pelbagai jenis ulam-ulaman iaitu sebanyak 70 jenis dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

 

“Sebanyak 83 gerai akan disediakan bagi menjual makanan dan minuman, makanan tradisional dan makanan kering, pameran kraftangan serta automotif, perbankan dan banyak lagi,” jelasnya. 

 

Beliau berkata demikian pada sidang media SFCF di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Jumaat. 

 

Dato Sri Abdul Karim menambah, acara kebudayaan pelbagai kaum turut diadakan pada setiap malam seperti persembahan Bermukun, Zapin Sindang, orkestra Cina, Gendang Pampat Iban serta persembahan dari kaum Bugis, Bidayuh, Jawa dan lain-lain. 

 

“Pelbagai aktiviti menarik juga akan dianjurkan seperti pertandingan masakan, pesta makan nanas, pameran dan persembahan artis tempatan,” ujarnya. 

 

Difahamkan, penganjuran SFCF pada tahun 2022 telah menarik seramai 98,819 pengunjung dan seramai 200,000 hingga 300,000 pengunjung disasarkan pada penganjuran tahun ini. 

 

Dato Sri Abdul Karim turut akan merasmikan program itu, manakala Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dijangka menyempurnakan majlis penutupan. 

 

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos dan dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS