RM500,000 Diperuntuk Bagi Projek JPD Kampung Senangeh

Disiarkan pada 30 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




SADONG JAYA : Sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan kepada Kampung Senangeh di sini bagi melaksanakan projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Berita gembira ini diumumkan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, pada Sabtu.

"Semalam (Jumaat), pegawai saya bersama pihak KKDW dan Tuai Rumah Kampung Senangeh, Oping Obian telah melakukan penyerahan tapak bagi satu projek jalan yang bernilai RM500,000 untuk kampung ini.

"Projek ini melibatkan tiga jalan pertanian untuk dilaksanakan selama 10 minggu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Kampung Senangeh anjuran bersama Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Senangeh.

Menurut Rodiyah, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris sentiasa memberi sokongan dari segi projek pembangunan atau berbentuk dana untuk tujuan kemajuan kampung di kawasan itu untuk menikmati pembangunan yang saksama.

Dalam majlis yang sama, Rodiyah dan Awla telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan untuk membina pintu gerbang di Kampung Senangeh.

Acara kemuncak majlis tersebut diteruskan dengan upacara ngetas ranyai dan menggulung tikar oleh Rodiyah serta Awla bersama tetamu jemputan yang lain.

Hadir sama untuk memeriahkan lagi majlis ini ialah isteri kepada Awla, Napsiah Abang Kaderi, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pemangku Pegawai Daerah Asajaya Hayati Sahari, Pengerusi Pengelola Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Komuniti dan Pelancongan Majli Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Kaunselor Dr. Florince Christy, Pemangku Setiausaha MPKS Gustian Durani, Penghulu Kampung Senangeh Pawi Sidi dan Tuai Rumah Kampung Senangeh Oping Obian. -EDISI UKAS