ADUN Simunjan Hadiri Majlis Ngiling Kelaya Dua Rumah Panjang

Disiarkan pada 30 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




SADONG JAYA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah menghadiri ke dua Majlis Ngiling Kelaya 2014 di sini, pada Sabtu.

Lokasi pertama ialah di Rumah Panjang Kampung Ensengei Iban Baru diikuti di Rumah Panjang Kampung Sebuyau Ensengei Iban Lama.

Pada majlis itu, beliau turut menjalankan upacara ‘ngetas ranyai’ dan ‘ngiling kelaya’ bersama tetamu kehormat yang lain sebagai simbolik penutupan perayaan Hari Gawai Dayak.

Dalam ucapannya semasa menghadiri kedua-dua majlis tersebut, Awla menegaskan agar penduduk harus memberi kerjasama dan bersatu padu dengan tuai rumah bagi memudahkan pembangunan kawasan tanpa sebarang halangan.

"Tahniah kepada anda semua kerana ini menunjukkan bahawa semua penduduk kampung sehati sejiwa bersama dengn tuai rumah.

"Sekiranya tiada kerjasama dengan tuai rumah maka amat susah untuk membawa kemajuan ke dalam kampung kerana tiada kesefahaman," katanya.

Awla juga turut berterima kasih kepada penduduk kedua-dua kampung di atas kesabaran dan ketabahan mereka untuk menunggu projek ruai rumah panjang yang kini telah siap sepenuhnya.

Dalam kesempatan itu, Awla dengan berbesar hati dan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pemasangan jubin di sepanjang ruai rumah panjang mereka di mana projek ini nanti akan disenaraikan dalam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2025.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunja Kr. Rosita Poni, Ketua Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffien, Tuai Rumah Kampung Ensengei Iban Baru Minchong Pakal dan Tuai Rumah Kampung Sebuyau Ensengei Iban Lama Muda Bujang. -EDISI UKAS