Kerjasama Rakyat & Wakil Rakyat Penting Bangunkan Kawasan

Disiarkan pada 30 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




SERIAN: Kerjasama pendudukan dan pemimpin kawasan disifatkan amat penting dalam usaha membangunkan kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada memberi jaminan bahawa beliau akan terus komited membawa pembangunan mampan di dalam kawasan di bawah konstituensinya dengan kemudahan asas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tepoi.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan sekolah berkenaan untuk memberi kerjasama bagi menyediakan kertas kerja yang lengkap untuk memudahkan usaha mencari dana yang diperlukan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Penutupan Gawai Dayak Tahun 2024 yang berlangsung di SK Tepoi di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, kemudahan asas yang lengkap di sekolah penting agar pelajar dan guru serta kakitangan yang lain dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan selesa dan bersemangat.

Dalam kesempatan itu juga, Dr Simon turut mengumumkan dana sebanyak RM300,000 untuk menaik taraf jambatan gantung Kampung Tepoi dan pembinaan jalan bahari dari Temong Bengan ke Tepoi Fasa 2 yang dijangka ditender pada Oktober 2024.

Turut diumumkan adalah dana sebanyak RM10,000 kepada Gereja ‘Seventh-Day Adventist’ untuk penganjuran aktiviti mereka pada masa hadapan.

Hadir sama, wakil Residen Bahagian Serian Wee Chung Yee, wakil Pegawai Daerah Tebedu Muhammad Fais Rusydi Rasdan, Guru Besar SK Tepoi Lily Ann Michael, Temenggong Bidayuh Bahagian Serian Henry Bujang Senden, Pemanca Bidayuh Daerah Tebedu Kane Manung serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS