ADUN Tellian Serah Geran MRP Sebanyak RM53,000

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine telah menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM53,000 untuk aktiviti tahunan masjid, surau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan Tellian bagi tahun 2024.

Empat penerima geran MRP N57 Tellian bagi tahun 2024 adalah Masjid Darul Huda, Kampung Kuala Lama dengan jumlah geran sebanyak RM5,000, Surau Babul Janah, Kampung Petanak Hulu berjumlah RM3,000, Surau Darul Hikmah Kampung Petanak Hilir sebanyak RM3,000 dan Surau Darul Iman, Kampung Petanak Tengah sebanyak RM3,000. 

Difahamkan, beliau juga telah menyampaikan Geran MRP pada 30 Mac yang lepas kepada Lembaga Kebajikan Melanau Tellian, KRT Kampung Tellian dan Urusetia Saudara Kita dengan masing-masing menerima sebanyak RM3,000. 

Manakala JKKK Kampung Tellian Ulu, JKKK Kampung Tellian Tengah, JKKK Kampung Tradisi Tellian, masing-masingnya menerima geran MRP berjumlah RM10,000.

Geran MRP tersebut disampaikan oleh Royston semasa program Ziarah NGO di kampung masing-masing.

Justeru, beliau berharap dengan adanya geran tersebut, NGO haruslah memastikan perancangan dan pelaksanaan apa jua aktiviti dalam masyarakat mampu memberikan manfaat penuh kepada semua pihak. 

“Gunakanlah geran peruntukan dari Kerajaan Sarawak ini melalui wakil rakyat dengan sebaik mungkin untuk manfaat bersama. 

“Segala penggunaan geran ini, haruslah dibuat laporan aktiviti dan kewangan, untuk keperluan rekod, dan memastikan jawatankuasa tersebut berintegiriti serta berkredibiliti dalam penggunaan peruntukan ini,” tegas beliau.

Malah beliau berharap geran MRP ini membantu NGO yang ada dalam melaksanakan pelbagai aktiviti biarpun tidak mampu menampung sepenuhnya. -EDISI UKAS