KUCHING: Sarawak merekodkan empat kes terbaru jangkitan Rabies dalam kalangan manusia setakat ini bagi 2024.
Jumlah itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Rabies di negeri ini sebanyak 79 kes dengan melibatkan 72 kematian sejak diisytiharkan pada Julai 2017.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata, tahun ini empat kes dikesan di Daerah Kuching.
“Empat kes telah dikesan pada tahun ini, tiga kes adalah dari Daerah Kuching di mana Bahagian Kuching juga telah diisytiharkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) sebagai kawasan jangkitan rabies di Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media mengenai program penglibatan komuniti menangani Rabies yang berlangsung di Majlis Bandaraya Kuching Selatan baru-baru ini.
Bagi mengelakkan kes Rabies pada tahun ini terus meningkat, beliau memberitahu bahawa pemilik anjing mahupun orang awam sentiasa memberi kerjasama dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan DVSS dengan melaporkan sebarang kes dan bertanggungjawab memvaksinkan anjing peliharaan mereka dengan kadar segera sekiranya belum berbuat demikian.
Bagi yang mempunyai sejarah gigitan anjing pula, beliau menasihatkan agar mereka segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berdekatan sebelum virus Rabies merebak ke seluruh badan mereka.
“Segeralah mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar, termasuk anjing dan kucing peliharaan sendiri.
“Vaksin antirabies boleh didapati di 254 buah ‘Post-Bite Clinic’ di kemudahan kesihatan awam dan di sekurang-kurangnya 29 buah fasiliti swasta di seluruh negeri Sarawak.” -EDISI UKAS