SERIAN: Sambutan perayaan Gawai Dayak mampu menjadi platform kepada menyatukan komuniti di Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben memberitahu, perayaan Gawai Dayak di negeri ini juga boleh memperbaharui hubungan keluarga dan komuniti.
“Hubungan keluarga sama ada dekat atau yang jauh dapat dieratkan lagi, selain semangat kerjasama dan perpaduan kalangan penduduk kampung dan komuniti setempat.
“Hari Gawai Dayak adalah perayaan tradisi yang disambut pada 1 Jun setiap tahun bagi meraikan kejayaan, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada tuah atas rezeki padi dan yang diperolehi setiap tahun.
“Saya berpendapat bahawa Gawai Dayak juga bagi meraikan kejayaan yang dicapai dalam perspektif lebih luas seperti kejayaan dalam aktiviti pertanian, ekonomi, kerjaya, pendidikan dan sebagainya secara individu, keluarga dan komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Nkisan Bunos Gawai 2024 Bersama Pemimpin di Kampung Bunan Gega di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu menyeru agar kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk kampung terus kekalkan kearah usaha bagi mencapai kemajuan berterusan bagi meningkatkan lagi taraf hidup serta pendapatan dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan.
Dalam majlis sama, Datuk Martin turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 masing-masing akan disalurkan kepada JKKK dan Biro Wanita Kampung Bunan Gega bagi keseragaman pakaian kumpulan tradisional.
Selepas itu, beliau bersama rombongan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Nkisan Bunos Gawai 2024 di Kampung Bunan Punok.
Beliau telah mengumumkan penyaluran dana MRP sebanyak RM10,000 masing-masing kepada JKKK dan Biro Wanita untuk pengurusan dan penganjuran aktiviti.
Selain itu, bagi tujuan keseragaman pakaian tradisional peruntukan sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada Persatuan Belia Kampung Bunan Punok.
Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Martin, Datin Trina Tan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), John Aten, Pegawai Tadbir Khas kepada Datuk Martin, Boniface Alin, Ahli Majlis Daerah Serian, Kaunselor Robin Augustine Kiek, Ketua Kampung Bunan Gega, Albert Andrew Ruha dan Ketua Kampung Bunan Punok, Gerald Kiek. -EDISI UKAS