Perkhidmatan MySRBN Tingkat Ketersambungan Internet Kawasan Luar Bandar

Posted on 30 Jun 2024
Source of News: UKAS



KUCHING: Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) akan meningkatkan ketersambungan internet kepada penduduk di kawasan luar bandar. 

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, perkhidmatan MySRBN dilengkapi dengan pakej prabayar rumah MySRBN yang telah dipramuat dengan 300 megabyte (MB) data percuma setiap bulan akan dilancarkan secara rasmi pada 7 Julai ini.

 

Menurutnya, sekiranya penggunaan lebih daripada 300MB, pelanggan boleh menikmati perkhidmatan MySRBN dengan tambahan RM5 seminggu dengan data 200GB.

 

“Pihak Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah menyediakan pakej prabayar yang boleh dibeli secara mingguan atau sebulan di mana harganya adalah RM5 setiap minggu yang merupakan tambahan kepada yang percuma.

 

“Ini adalah lebih murah daripada apa yang telah disediakan oleh penyedia perkhidmatan lain di pasaran.

 

“Selain itu, pihak SDEC juga akan memasang penghala dan antena bagi setiap pelanggan yang telah diluluskan oleh MySRBN di kawasan luar bandar,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Pelancaran Hari Digital & Ketersambungan Sarawak di sini pada Ahad. 

 

Dato Sri Julaihi menambah, perkhidmatan MySRBN mempunyai elemen subsidi kerana ia merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk membolehkan ketersambungan internet di kawasan luar bandar.

 

“Kita berhasrat untuk mencapai ketersambungan penuh di kawasan luar bandar pada masa akan datang supaya kita boleh membawa penduduk setempat dalam menyertai ekonomi digital.

 

“Ekonomi digital adalah salah satu sumber perniagaan dan pendapatan yang baharu dan perkhidmatan MySRBN oleh pihak SDEC adalah bertepatan sekali,” ujarnya.

 

Dalam majlis sama, beliau juga melancarkan aplikasi SDEC baharu yang mampu memantau penggunaan data MySRBN pelanggan.

 

Untuk rekod, perkhidmatan MySRBN menawarkan pakej sebanyak RM5 bagi 200GB seminggu dan sebanyak RM20 untuk data 1 terabyte (TB) sebulan.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Ir Ts Sudarnoto Osman, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jafri Lias dan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Ir Anderson Tiong Ing Heng. -EDISI UKAS