Sarawak Sasar Tambah Kontraktor Bumiputera Berkelas Tinggi

Disiarkan pada 30 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




SIBU: Kerajaan Sarawak mahu bilangan kontraktor Bumiputera yang berdaftar dalam kelas yang lebih tinggi di negeri ini terus bertambah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini secara tidak langsung mampu meningkatkan hasil pendapatan dan kualiti hidup kontraktor serta usahawan Bumiputera di Sarawak.

"Sekiranya sekarang Kelas E atau D dari Zon Tengah ada 104 orang, tak mustahil dua atau tiga tahun akan datang dapat naik taraf pendaftaran ke Kelas C atau B.

"Jadi, besarlah harapan saya supaya kontraktor semua untuk terus gigih dan rajin mencari serta merebut peluang yang mungkin tidak akan datang dua atau tiga kali dalam satu-satu masa," katanya semasa berucap merasmikan kursus Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) bagi Zon Tengah, di Hotel Kingwood Sibu pada Sabtu.

Menurutnya, setakat 20 Jun 2024, bilangan kontraktor Bumiputera seluruh Sarawak dari Kelas E dan D yang berdaftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ) ialah sebanyak 2,271 orang.

"Daripada 2,271 orang, terdapat 599 kontraktor dari Zon Tengah (Sibu: 136; Sarikei: 118; Mukah: 244 dan Kapit:101). Jadi, tahniah kepada 104 peserta yang terpilih untuk menjayakan PKBS pada tahun ini bagi Zon Tengah," katanya.

Kursus yang diadakan selama 10 hari dengan para penceramah dari UNIMAS, UTM, UPKB, UPKJ dan PLBK CIDB yang telah berkongsi ilmu dan pengetahuan mereka.

Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, ia adalah satu langkah baharu oleh Kerajaan negeri untuk memberi ruang dan peluang kepada para kontraktor Bumiputera supaya berupaya untuk melaksanakan projek dengan cekap dan berkesan serta dapat meningkatkan jumlah kontraktor Bumiputera yang tulen, berdaya saing dan berdaya tahan.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berharap program ini dapat mencapai maksud khususnya dalam konteks menyambut hasrat kerajaan dalam mentransformasikan Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Kita hendak melihat kontraktor Bumiputera mempunyai kepakaran serta kapasiti melaksanakan projek dengan cekap dan berkesan. Saya yakin peserta yang dipilih adalah terbaik di antara yang terbaik. Jadi saya berharap semua peserta berupaya melaksanakan projek sendiri di bawah program ini di semua bahagian dan daerah masing-masing.

"Ada sesetengah bahagian projek kerja Kelas D akan bersaing sesama sendiri di bahagian tersebut. Sebagai contoh di Mukah, kontraktor Kelas D dari semua daerah di Mukah akan bersaing untuk mendapatkan projek melalui Tender Terhad.

"Untuk pengetahuan hadiri sekalian, nilai projek yang dipilih di bawah program ini ialah RM200,000 hingga RM2.5 juta," jelasnya.

Beliau juga berharap ada kelangsungan pembangunan kontraktor Bumputera dan semua penggerak industri pembinaan supaya rangkaian pembinaan dapat diteruskan demi pembangunan Sarawak.

Melalui program ini katanya, kerajaan memberi ruang kepada semua peserta untuk terlibat secara langsung dalam Tender Terhad (bersaing sesama peserta di bahagian/daerah masing-masing) tanpa penglibatan dari bahagian/daerah luar untuk mendapatkan projek kerajaan.

"Ini selari dengan dasar 30 peratus penglibatan kontraktor Bumiputera dalam kontrak kerja di bawah peruntukan kerajaan negeri bagi projek bernilai RM200,000 ke atas.

"Sekurang-kurangnya 30 peratus kontrak kerja yang bernilai RM200,000 ke atas diberi kepada kontraktor Bumiputera. Kerajaan negeri menggunapakai dasar ini untuk membolehkan golongan Bumiputera mengambil bahagian dalam projek kerjaaan.”

Turut hadir Pengarah Bahagian Perolehan Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak Rozita Mohamad Ibrahim, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Residen Bahagian Kapit Galong Luang dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh. - EDISI UKAS