ADUN Tellian Sumbang Bantuan Awal Kepada Mangsa Kebakaran

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine telah menyumbangkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran yang meranapkan sebuah rumah di Kampung Penakub Permai pada tengah hari Khamis.

Simpati dengan tragedi tersebut, beliau telah melawat ke tempat kejadian pada sebelah petang dan menyampaikan sumbangan berbentuk tunai kepada mangsa-mangsa yang terlibat. 

Ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak, beliau berkata amat bersyukur tiada kemalangaan jiwa dilaporkan terhadap empat penghuni yang tinggal di rumah tersebut.

“Walaupun dalam kedukaan kediaman hangus ranap dalam kebakaran, namun kita tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

“Saya berharap mangsa kebakaran bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan ini,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Royston berkata sebuah rumah berdekatan yang mengalami 10 peratus terbakar akan dibaikpulih.

“Rumah berdekatan yang terjejas 10 peratus akibat kebakaran ini akan dilaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera dibawah peruntukan MRP- PPRMS DUN Tellian 2024,” jelasnya.

Tambahnya, rumah tersebut hendaklah dibaik pulih sebelum raya menjelang tiba pada Rabu kelak. -EDISI UKAS