Raja Permaisuri Agong Mencemar Duli Ke Majlis Santapan Malam

Disiarkan pada 29 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS










KUCHING: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mencemar duli ke Majlis Santapan Malam bersempena dengan lawatan Baginda ke Kuching pada Sabtu.

Ketibaan Baginda Raja Permaisuri Agong sekitar jam 8.20 malam disambut oleh isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Turut hadir mengiringi Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Yang Amat Mulia Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam majlis santapan tersebut,Baginda Raja Permaisuri Agong turut dipersembahkan dengan tarian pembukaan iaitu Tarian Puteri Sarawak, diikuti dengan Tarian Ajat Indu (Iban), Tarian Sigar Dayung (Bidayuh), Tarian Datun Julud (Orang Ulu), Tarian Menyambut Tuo Labih (Melanau), Tarian The Moon Light Lover (Cina) daripada City Dancers, Dayak Cultural Foundation dan The Dance Academy di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak. 

Selain itu, Baginda Raja Permaisuri Agong turut dipersembahkan dengan persembahan nyanyian daripada artis Sarawak antaranya Valerie Thiam Mei Lee, Raquel Then, Suzie Kay, Adam Yaman dan Firdaus Materang dengan pengisian pelbagai genre lagu etnik dan lagu moden.

Selepas itu, Baginda Raja Permaisuri Agong turut dipersembahkan dengan Tarian Finale dengan Tarian Nopeng Kinek (Melayu) sebelum keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Baginda Permaisuri Agong.

Terdahulu, Baginda Raja Permaisuri Agong turut menerima cenderamata daripada Astana Negeri Sarawak dan Kerajaan Sarawak.

Baginda Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat pulang ke Johor pada Ahad.-EDISI UKAS