Kemajuan Dikecapi Sarawak Pacu Pembangunan Malaysia

Disiarkan pada 29 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kemajuan yang dikecapi Sarawak masa kini adalah satu kejayaan yang membanggakan dengan pelbagai pembangunan dibawa mampu memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian menegaskan, kemajuan yang dikecapi di peringkat nasional juga membolehkan Sarawak turut maju seiring dengan pembangunan yang dibawa terutamanya dalam sektor tenaga hijau dan pelaburan.

Menurutnya, kemajuan ini dapat dicapai disebabkan pendekatan terkini Kerajaan Sarawak yang tidak mengekalkan cara lama bagi memajukan negeri ini di mana dulu hanya bergantung harap kepada kemajuan di peringkat pusat.

"Kalau pencapaian Sarawak bagus, Malaysia pun bagus juga kerana kita tidak lagi seperti dahulu di mana pencapaian Malaysia hanyalah menjadi pandangan kepada Sarawak sahaja.

"Justeru, saya menyeru agar rakyat terus sentiasa bersatu padu membangun Sarawak khasnya dan Malaysia amnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ulang Tahun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching Ke-65 di sini pada Sabtu.

Datuk Amar Dr Sim yang juga Presiden SUPP menambah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut menegaskan kepada Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang Sarawak akan terus kekal di Malaysia.

Selain itu katanya, hubungan erat antara SUPP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu dipertingkatkan bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua parti.

"Hubungan PBB dan SUPP sejak tahun 1970 telah membolehkan satu hubungan kukuh yang membolehkan satu kestabilan politik yang unik di Sarawak," katanya. -EDISI UKAS