16,624 Penerima Bantuan Terima Sumbangan Aidilfitri

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

MIRI: Seramai 16,624 orang iaitu 31 peratus daripada jumlah penerima bantuan Sarawak akan menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri dengan jumlah sumbangan RM1,662,400.

 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi tahun 2024, seramai 976 orang yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri daripada 4,283 orang penerima jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan di Miri.

 

“Dari Januari hingga Mac 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM64,495,350 untuk 54,321 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Negeri Sarawak.

 

“Manakala bagi Bahagian Miri sahaja, dari Januari hingga Mac 2024, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM5,454,800 untuk 4,283 orang penerima bantuan bulanan di Miri,” ujarnya. 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2024 Bahagian Miri di Hotel Dynasty, Miri di sini pada Khamis. 

 

Pada majlis tersebut, para penerima yang dijemput hadir adalah seramai 150 orang di mana mereka menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100. 

 

Jelas Dato Sri Fatimah lagi, Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2024 juga telah diadakan di Dewan Masyarakat Bekenu yang diadakan pada 3 April lalu dimana 100 orang penerima yang lain juga telah menerima wang tunai sejumlah RM100.

 

“Bagi 726 orang penerima yang lain, sumbangan RM100 akan dikreditkan ke akaun masing masing,” ujarnya. 

 

Selesai majlis tersebut, Dato Sri Fatimah menuju ke Klinik Jaya Medik di Centre Point Phase bagi menyerahkan plak rakan strategik Kenyalang Gold Card (KGC). 

 

Katanya, Klinik Jaya Medik, menawarkan 5 hingga 10 peratus diskaun ke atas pelbagai produk dan perkhidmatan. 

 

Tambahnya, pemegang-pemegang KGC di Miri boleh mendapatkan pelbagai keistimewaan yang ditawarkan oleh 67 rakan strategik di seluruh Bahagian Miri dan terdapat sebanyak 578 rakan strategik di seluruh Sarawak.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus.-EDISI UKAS