JATAIM Beluru Adakan Majlis Berbuka Puasa, Erat Perpaduan

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

MARUDI: Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam (JATAIM) Daerah Beluru telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bertemakan 'Marhaban Ya Ramadan' di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Beluru, Bakong pada Rabu. 

 

Pemangku Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu ketika berucap ringkas berkata, program ini bertujuan mengeratkan silaturahim dikalangan penduduk tempatan agar sentiasa menjaga perpaduan dalam masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama. 

 

“Saya menyeru agar semua pihak untuk sentiasa menjaga perpaduan dan harmoni dalam masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama,” katanya. 

 

Ujarnya lagi, sempena bulan Ramadan, JATAIM dan Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) juga menghulurkan sedekah berbentuk bubur lambuk kepada jabatan dan agensi kerajaan serta orang awam di samping mengadakan Majlis Berbuka Puasa. 

 

Justeru beliau menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pelaksanaan program ini.

 

Turut hadir Ketua Masyarakat Iban Daerah Beluru Pemanca Enggah Muga, Penghulu Melayu Beluru Penghulu Abdullah Samat, Ketua Kampung, Kampung Melayu Beluru Rosanah Tapa dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pekan Beluru Zaini Esie.-EDISI UKAS