SEMATAN: Kerajaan Sarawak mengambil langkah serius dalam membudayakan integriti pada peringkat perkhidmatan awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, kerajaan Sarawak tegas dan komited dalam usaha-usaha untuk membudayakan integriti, mengamalkan tadbir urus yang baik dan memerangi jenayah rasuah dalam kalangan penjawat awam sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan termasuk Badan Berkanun Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Oleh yang demikian, ke arah mencapai usaha tersebut, antara inisiatif Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ialah dengan menempatkan Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) di Kementerian, Jabatan dan PBT di dalam memastikan pembudayakan integriti dihayati dan dilaksanakan.
"Kita akan pastikan Unit Audit Dalam dan CelO bergerak sekata bagi memastikan proses pentadbiran di jabatan masing-masing kalau berlaku perlanggaran, dua pihak ini boleh memberikan nasihat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Enhancing Integrity Program
(EIP) bersempena Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) Siri 38 Bil.2/2024 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu mengingatkan para CelO memiliki beberapa kuasa yang tidak wujud sebelum ini.
"Kita akan pastikan apa-apa rekomendasi berkaitan dengan pelanggaran disiplin, mesti di ambil tindakan.
"Sama ada melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, untuk memastikan pihak ketua jabatan yang didapati kakitangan nya ada masalah disiplin mesti di ambil tindakan," tambahnya.
Difahamkan, program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bersama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang bertemakan 'Kelestarian Integriti Pemicu Masyarakat Makmur' ini telah menghimpunkan sekitar 100 orang peserta.
Dalam pada itu, turut berlangsung majlis penyampaian Sijil Watikah Integrity Champion kepada 17 agensi yang mengambil bahagian termasuk agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli majlis, komuniti dan ketua kampung serta pelajar-pelajar Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu.
Terdahulu, juga diadakan lafaz ikrar bebas rasuah yang diketuai oleh Pengarah Program Integrity Summit 2024 Mohd Arif Suhardi.
Turut hadir, Pengarah MACA Saiful Ezral Arifin, wakil Pengarah UNIONS Wan Hipni Wan Mohamad, wakil Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sarawak Wan Ahmad Nidzam Wan Omar dan Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin. - EDISI UKAS