1,100 Bekas Bubur Lambuk Diagih Di Daerah Limbang

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

LIMBANG: Sebanyak 1,100 bekas bubur lambuk sempena Ramadan telah diagihkan kepada penjawat awam, ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam di Daerah Limbang.

 

Agihan itu dilaksanakan di simpang jalan masuk ke Kampung Bunga Raya, Limbang pada Rabu. 

 

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita, Sarapiah Wan Kadir bersama-sama Pengerusi Limbang Life Care Society, Ling Ung Tong turut hadir menyantuni lapan orang warga emas di Kampung Bunga Raya dengan menyerahkan agihan bubur lambuk Ramadan dan barangan keperluan. 

 

Selain itu, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi turut menyerahkan agihan bubur lambuk Ramadan kepada wakil-wakil agensi kerajaan dan NGO di Bangunan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Limbang. 

 

Program ini berjalan dengan lancar kerana wujudnya semangat kerjasama yang tinggi dan perpaduan dalam kalangan warga penjawat awam bersama NGO-NGO di Daerah Limbang. 

 

Objektif program tercapai apabila pelaksanaannya mendapat respons positif daripada ahli jawatankuasa kerja daripada setiap agensi, NGO yang terlibat serta penerima bantuan dan orang awam. 

 

Tema program 'nikmatnya bersyukur, indahnya bersabar' dapat direalisasikan melalui aktiviti gotong-royong menyediakan bubur lambuk sehingga selesainya proses agihan.  

 

Turut sama menjayakan program ini adalah Sukalerawan dari Kelab Sukan Rekreasi dan Muhibbah Limbang dan pelatih-pelatih Giat MARA Limbang.-EDISI UKAS