Majlis Ngiling Tikai Platform Terbaik Promosi Budaya Dayak

Disiarkan pada 29 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




SIMUNJAN : Budaya ‘ngiling tikai’ perlu dikekalkan sebagai adat tradisi masyarakat Dayak yang sangat unik agar ia tidak ditelan arus pembangunan semasa.

Ia merupakan acara penutup penuaian padi dan persediaan untuk memulakan penanaman padi pada tahun baharu.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, upacara Ngiling Tikai bertujuan meraikan Majlis Penutupan Hari Gawai serta berkongsi keriangan dan kemeriahan tanpa mengira bangsa ataupun agama.

"Ianya platform terbaik untuk mempromosikan budaya Dayak yang terkenal dengan keunikan yang diwarisi turun-temurun daripada generasi terdahulu.

"Saya percaya adat dan tradisi masyarakat Dayak dapat juga menyumbang kepada semangat perpaduan di negara Malaysia yang kita cintai ini kerana pada hemat saya setiap etnik di negara ini mempunyai keunikan melalui adat dan budaya masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai anjuran Persatuan Ketua Masyarakat dan Tuai Rumah Iban Sitak Temiang bertempat di Dewan Mesra Simunjan pada Jumaat.

Tambah Rodiyah, peranan semua pihak adalah sangat penting bagi mengekalkan semangat toleransi dan sikap saling menghormati.

"Majlis ini adalah merupakan salah satu contoh terbaik dalam usaha untuk mengeratkan semangat perpaduan di kalangan warga Simunjan.

"Saya percaya sambutan seperti ini juga dapat membantu untuk membentuk semangat kerja secara berpasukan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menyifatkan sambutan pada tahun ini sangat meriah yang dihadiri semua lapisan masyarakat.

"Saya sangat teruja dengan sambutan pada malam ini kerana saya lihat sambutannya sangat meriah sekali dengan kehadiran semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan kaum.

"Kalau boleh pada tahun depan majlis seumpama ini akan diadakan secara besar-besaran dengan penyertaan lebih ramai Kumang Gawai di setiap pelosok Simunjan kerana saya bersama Rodiyah akan terus memberi sokongan penuh majlis seumpama ini," katanya.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan pertandingan Kumang Gawai Dayak yang disertai seramai lima peserta.

Memiliki personaliti yang cukup menarik telah memastikan gelaran Kumang Gawai Dayak Daerah Simunjan 2024 dinobatkan kepada Firra Firomna Jimat dari Kampung Telagus.

Rodiyah dan Awla bersama tetamu jemputan yang lain turut berkesempatan mengadakan upacara Ngetas Ranyai dan menggulung tikar sebagai tanda berakhirnya Sambutan Gawai Dayak 2024.

Hadir sama isteri kepada Awla Dris Napsiah Abang Kaderi, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Melinda James, Temenggong Geoffery Mamat Kuchai, Pengerusi Majlis Ngiling Bidai PKMTR Iban Sitak Temiang Penghulu Jubin Sili, Penghulu Ahmad Dol Simpol dan Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi. -EDISI UKAS