Sultan Selangor Dan Isteri Mencemar Duli Berkunjung Ke RWMF 2024

Disiarkan pada 29 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak (SCV) pada Jumaat.

Ketibaan baginda berdua sekitar jam 8 malam yang diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.

Baginda berdua dipersembahkan dengan persembahan daripada kumpulan The Colour Of Sound Malaysia, Esemble Melayu Nusantara, The Borneo Collective, Rythm Rebels Featuring Selonding Bali Aga dan semestinya penampilan khas pemuzik lagenda dari Jepun, Kitaro yang diiringi Belle Sisoski.

Pada Sabtu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli melawat Muzium Budaya Borneo dan Galeri Tun Jugah Foundation sebelum berangkat pulang menaiki pesawat khas pada Ahad.

Kira-kira 10,000 pengunjung memeriahkan malam pembukaan RWMF yang bertemakan ‘Evolution’ pada tahun ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian serta isteri dan timbalan-timbalan menteri kabinet Sarawak.-EDISI UKAS