KUCHING: Keharmonian agama-agama yang ada di negeri ini diperagakan dalam acara ‘Sarawak Harmony Walk’ 2024 anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada Sabtu.
Dianggarkan kira-kira 5,000 orang peserta pelbagai agama telah berhimpun di Padang Merdeka di sini seawal jam 6 pagi lagi di mana acara pada pagi itu dimulakan dengan persembahan beberapa buah lagu dan acara senamrobik sebagai aktiviti memanas badan.
Menariknya pada penganjuran kali ini, ia telah dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama dalam acara penuh keharmonian ini adalah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat, Ketua-Ketua Jabatan, Pengerusi-Pengerusi Penganut Agama Lain, Ketua-Ketua Agama serta kenamaan yang lain.
Tetamu-tetamu kenamaan serta peserta acara mulai berarak sepanjang 2.4 kilometer bermula dari Padang Merdeka pada jam 7 pagi yang mana perarakan tersebut diketuai oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sendiri dan tiba di garisan penamat pada jam 7.47 pagi.
Selaras dengan tema ‘Unity Is Our Calling’, perarakan ini berarak melintasi rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, tua pek kong dan gereja.
Sementara itu, tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati rata-rata peserta berasa teruja dan gembira melihat keharmonian dan perpaduan yang ada di negeri ini.
Seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berasal dari Selangor, Bahani Chandrasegaran menzahirkan rasa kagumnya melihat keharmonian yang ditunjukkan oleh rakyat Sarawak yang bersatu-padu dan sama-sama terlibat dalam sesuatu acara.
“Saya berasa amat teruja dan gembira melihat perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat di sini.
“Saya juga berasa gembira melihat aktiviti seumpama ini dibuat di Sarawak,” jelasnya.
Senada dengannya, Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Sarawak iaitu Krishnarao dan Setiausaha Persatuan Persekutuan Kuil Sarawak Kapitan Tan Kok Chiang yang turut teruja melihat semangat yang ditunjukkan para peserta.
“Program pada pagi ini amat menyeronokkan kerana kita berpeluang untuk melibatkan diri bersama penganut-penganut agama yang lain serta etnik yang ada di Sarawak.
“Ia merupakan satu budaya yang indah untuk menunjukkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan penduduk di Sarawak.
Kapitan Tan pula memberitahu, program seumpamanya menzahirkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian yang ada di Sarawak.
“Program pada pagi ini sangat bagus kerana kita dapat mempamerkan lagi semangat perpaduan Sarawak di mana kita betul-betul sebuah negeri yang hidup dalam keadaan yang harmoni walaupun berbilang kaum.
“Sebagai seorang rakyat Sarawak, saya berasa amat bangga.” -EDISI UKAS