Hospital Sibu Terima 185 Mesin Perubatan & Fasiliti Kesihatan

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SIBU: Hospital Sibu menerima sumbangan 185 mesin perubatan dan fasiliti kesihatan daripada Kelab Rotary Bintulu Central (RCBC) dan The Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints.

 

Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu memberitahu, sumbangan tersebut yang bernilai RM486,000 merupakan projek ‘Delivery Hope, Touching More Lives’.

 

“Hospital Sibu sangat memerlukan aset-aset tersebut bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada orang awam sentiasa berada pada tahap yang optimum.

 

“Ini adalah untuk pesakit kita terutamanya, untuk keselesaan yang lebih baik dan juga untuk kebajikan kakitangan jadi kita berharap ini akan menggalakkan kakitangan untuk berkhidmat dengan lebih baik," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan dan Sumbangan oleh RCBC di Hospital Sibu pada Khamis.

 

Menurutnya, sumbangan ini termasuk mesin-mesin perubatan electrocardio scanner, keratometer/refractometer, gastroscope, transport incubator dan aset-aset bukan klinikal seperti penghawa dingin, kipas ekzos, kipas siling dan sebagainya.

 

Dr Nanthakumar menambah, RCBC juga pernah menyampaikan sumbangan dalam bentuk Kelengkapan Pelindung Diri (KPD) semasa wabak COVID-19 yang sangat membantu dalam mengekang penularan virus serta melindungi petugas kesihatan.

 

Turut hadir ialah Presiden RCBC Allen Wong Ching Seng dan wakil The Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints Elder Brad Douglas serta Sister Marsha Douglas. -EDISI UKAS