18 Banduan Di Sibu Dibebaskan Menerusi Program PBSL Sempena Hari Raya Aidilfitri

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SIBU: Seramai 18 orang banduan di Penjara Sibu telah dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Pengarah Penjara Sibu Hamad Seman berkata, walaupun banduan tersebut telah dibebaskan, mereka akan tetap dipantau menerusi sistem parol dan dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sehingga tempoh hukuman penjara mereka tamat.

 

"Kita berharap dengan pembebasan awal daripada tarikh yang sepatutnya ini satu keinsafan kepada banduan supaya mereka tidak lagi mengulangi kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan.

 

“Kita juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarga dan majikan yang sanggup bekerjasama dengan pihak jabatan penjara bagi memastikan program ini berjalan dengan jayanya," ujarnya ketika ditemui media pada program PBSL di Penjara Sibu pada Khamis.

 

Tambahnya, jika berlaku pelanggaran peraturan, banduan akan dihantar semula ke penjara dan bakal dikenakan hukuman bergantung dengan kesalahan yang telah dilakukan.

 

Menurutnya, terdapat beberapa kriteria yang membolehkan banduan tersebut layak untuk program PBSL, antaranya adalah hanya terlibat dengan jenayah ringan, tiada kes lain atau kes rayuan dan melepasi fasa satu dalam Program Pembangunan Insan (PPI).

 

“Manakala banduan yang tidak layak adalah banduan warga asing, kes melibatkan dadah berbahaya yang berat, dihukum di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), kes bunuh, akta senjata api dan sebagainya,” jelasnya.

 

Difahamkan, daripada jumlah tersebut, seramai lapan orang merupakan banduan yang telah dijatuhkan hukuman kurang daripada satu tahun dan 10 orang banduan lagi adalah yang telah menjalani hukuman penjara selama satu hingga tiga tahun.

 

Pada tahun 2023, seramai 202 orang penghuni terlibat dalam program PBSL manakala setakat April 2024 seramai 43 orang penghuni Penjara Sibu telah dibebaskan melalui program tersebut.

 

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Keselamatan dan Inteligen Penjara Pusat Sibu Penguasa Mohd Hidayat Ismail dan Ketua Bahagian Pengurusan Banduan Penjara Pusat Sibu Penguasa Celestine Jubang Paul. -EDISI UKAS