URDA, RECODA Lawat Ladang Lestari Penternakan Madu Kelulut Lundu

Disiarkan pada 27 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS





LUNDU: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) telah mengadakan satu sesi lawatan sambil belajar ke Ladang Lestar Penternakan Madu Kelulut di Kampung Belungei di sini pada Rabu.

Berucap ringkas semasa sesi lawatan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, pihak URDA bersama dengan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) berminat untuk mempelajari kaedah moden di dalam menternak madu kelulut seperti yang terdapat di situ.

Menurutnya, ini kerana kaedah penternakan madu kelulut di Kapit berlainan dengan kaedah yang dilaksanakan di Lundu.

“Sesi lawatan ini telah diunjurkan bagi tujuan untuk mempertingkatkan hasil penternakan madu kelulut, dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan para penternak madu kelulut,” katanya.

Hadir sama, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, ADUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai, Pengarah URDA, Jospeh Belayong Punan, Pengerusi Koperasi Usahawan Bumiputera Kapit, Watson Jalai dan Ketua Program TERAJU Wilayah Sarawak, Zarifhadi Bujang.

Penternakan Madu Kelulut di Kampung Belungei ini merupakan salah satu program 'Innovation for Community' (INNO4C) 2019 yang melibatkan dua projek iaitu Madu Kelulut 'Scale Up Project' dan 'Pepper Scale Up Project' di 10 kawasan dalam Sarawak melalui Universiti Sains Malaysia (USM) oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).-EDISI UKAS