KMKK DUN Muara Tuang Terima Sumbangan Hari Raya Aidilfitri

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Seramai 47 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima sumbangan khas Hari Raya Aidilfitri pada Khamis. 

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato' Idris Buang.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato' Idris Buang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih di atas usaha murni pihak Kelab Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Muara Tuang.

Beliau berharap agar ianya diadakan secara berterusan antara lain sebagai usaha mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan KMKK menjelangnya hari lebaran nanti.

Program anjuran Kelab KMKK DUN Muara Tuang dan Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang ini bertujuan untuk menghargai jasa perkhidmatan ketua kaum dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk kebajikan penduduk setempat dan juga persediaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Ketua Marqas Operasi ADUN Muara Tuang Aziz Mohamad, Penghulu serta Ketua Kaum di setiap kampung kawasan DUN Muara Tuang.-EDISI UKAS