Trace 2024 Platform Peluang Kerjaya Untuk Graduan Dan Pencari Kerja

Posted on 26 Jun 2024
Source of News: ukas


KOTA SAMARAHAN: Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2024 berupaya menjadi platform kepada para pelajar, graduan dan pencari kerja untuk meneroka peluang pekerjaan serta membuka jalan untuk pertumbuhan kerjaya masa depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, acara ini menyediakan satu ruang pertemuan antara kedua-kedua majikan dan pekerja dalam satu platform yang interaktif.

“Para pelajar, graduan dan pencari kerja berpeluang untuk meneroka peluang pekerjaan, menjalin hubungan dan membuka jalan untuk pertumbuhan kerjaya masa depan mereka.

“Acara ini juga menyediakan pelbagai peluang untuk mereka berinteraksi dengan majikan dan pemimpin industri untuk perbincangan bermakna dan merebut peluang untuk mempamerkan kemahiran, cita-cita dan kesediaan mereka untuk menghadapi cabaran baharu dalam alam pekerjaan.

“Ia juga merupakan platform strategik bagi syarikat yang mengambil bahagian untuk memperluas pembangunan bakat yang membentuk industri masa depan," ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada majlis perasmian TRACE 2024 bertempat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Rabu.

Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah menambah, Kerajaan Sarawak komited untuk memupuk tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan.

Komitmen tersebut termasuk perkongsian strategik dengan industri dan pihak berkepentingan untuk memenuhi keperluan pekerjaan semasa dan masa depan di Sarawak.

Untuk rekod, penganjuran pameran kerjaya terbesar di Borneo oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut menampilkan 77 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan swasta serta fakulti-fakulti di UNIMAS.

Hadir sama dalam program tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit. -EDISI UKAS