278 Penerima Bantuan Sejambak Kasih Aidilfitri Di Bekenu

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BEKENU: Seramai 278 orang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di sini menerima sumbangan duit raya menerusi program Sejambak Kasih Aidilfitri 2024.

Daripada jumlah itu, seramai 100 penerima telah dijemput untuk menghadiri majlis penyerahan sumbangan tersebut anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri yang diadakan di Dewan Masyarakat Bekenu pada Rabu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata, bagi lebihan penerima yang tidak berpeluang hadir ke majlis berkenaan, sumbangan akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Menurutnya, pemberian sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
"Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban penerima untuk persediaan Aidilfitri yang bakal tiba.

"Semoga dengan pemberian ini juga dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan khasnya di kawasan Bekenu ini,"katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis tersebut.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan Pegawai Jabatan Kebajikan Bahagian Miri Vivian Engkiong.-Edisi UKAS