SEDC Santuni Kanak-Kanak Kompleks Kebajikan Datuk Amar Hajah Laila Taib 

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) meneruskan program tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik sempena Ramadan.

Seramai 84 kanak-kanak dari Kompleks Kebajikan Datuk Amar Hajah Laila Taib Kuching menerima duit raya dan barangan kelengkapan sekolah dalam majlis diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang.

Ia dimulakan dengan upacara Pertukaran Surat Rasmi Kerjasama antara SEDC & Tabung Baitumal Sarawak dan diteruskan dengan penyerahan zakat perniagaan daripada SEDC kepada Tabung Baitumal Sarawak yang berjumlah RM600,000. 

Seterusnya, Premier Sarawak serta isteri menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan duit raya dan barangan kelengkapan sekolah kepada kanak-kanak daripada Kompleks Kebajikan Datuk Amar Hajah Laila Taib.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS