Pemerkasaan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah didukung oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi berkata, ia boleh dilihat apabila Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkongsi cadangan ke arah pemerkasaan mahkamah syariah dari konteks perundangan.

Menurutnya, pelantikan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan menzahirkan kesinambungan agenda pemerkasaan undang-undang syariah.

“Antara objektif utama kita untuk memaklumkan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi tentang tugas organisasi, tugas kehakiman Sarawak yang ada kaitan secara langsung dengan Tun.

“Selain itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga berkongsi pengalaman beliau dan memberi cadangan ke arah pemerkasaan mahkamah syariah dari konteks perundangan termasuklah dari konteks penambahbaikan undang-undang, institusi kehakiman, protokol, jawatan dan perancangan perkasa undang-undang, mahkamah syariah akan segera dilakukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Datu Suhaili menambah, objektif kunjungan itu antara lain memaklumkan tentang perkembangan terkini berkenaan Mahkamah Syariah di mana pelantikan hakim-hakim adalah di bawah bidang kuasa Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.

Tambahnya, pertemuan itu juga bagi menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah sebagai tetamu kehormat untuk Program Pertauliahan dalam masa terdekat.-EDISI UKAS