Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu Pada 13 April Ini

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu bakal diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sibu (UTS) pada 13 April ini.

Justeru, satu mesyuarat Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Sibu pada Khamis yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sibu Datu Wong Hee Sieng bertujuan membuat penyelarasan tugas.

Menurut Datu Wong, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi bakal menyempurnakan majlis tersebut.

Tambahnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga dijangka hadir bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya peringkat Sibu.

Selain itu katanya, terdapat beberapa aktiviti akan diadakan seperti persembahan kumpulan koir bagi lagu-lagu raya, persembahan nyanyian oleh artis jemputan dan cabutan bertuah.

Ujarnya, kira-kira 2,300 tetamu jemputan bakal membanjiri Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri beramai-ramai. 

Difahamkan, raptai program akan diadakan pada 12 April 2024 di lokasi yang sama.

Turut hadir ke mesyuarat tersebut Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Eksekutif Kanan Pentadbiran UTS Josephine Tommy, Ketua-Ketua dan wakil-wakil Jabatan Persekutuan dan Negeri, wakil Pusat Khidmat DUN Nangka serta wakil Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN) dan Astana yang mengikuti mesyuarat secara atas talian. -EDISI UKAS